Have an account?

Thursday, 30 December 2010

Jom Gegarkan....


KARNIVAL GEGAR GEMPAK PeBT MBSA 2010

Tarikh : 31 disember 2010
Masa : 3.00 ptg - 12.00 tgh mlm
Tempat : ICT, Seksyen 7, Shah Alam
Pelbagai aktiviti menarik,
- Pertandingan PS2
- Konvoi kereta VIVA bersama menteri besar Selangor
- Pameran Penggerak Belia Tempatan
- Pertandingan gubahan tuala,masakan rendang
- Pertandingan autoshow ( kereta /motor klasik )
- Segmen Pom Pom tebabo
- cabutan bertuah
- Bacaan yaasin Perdana
- sembang santai PeBT
~Jom sama2 gegarkan~
datang beramai2....
Read more...

Monday, 15 November 2010

Selamat Menyambut Aidil Adha



Kami,warga PeBT Zon 16 mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA kepada semua rakyat islam..Semoga,peristiwa yang berlaku antara Nabi Ismail dan ayahandanya,nabi Ibrahim,menjadi contoh buat kita dalam kehidupan,sebuah pengorbanan yang amat bernilai.

~Berhati-hati di jalan raya~
Read more...

Sebuah pengorbanan

Zulhijjah kembali lagi. Usia kita masih berpanjangan dan diberikan peluang untuk bersua lagi dengan Zulhijjah. Seringkali kita didedahkan tentang apa yang diharuskan untuk kita lakukan di dalam bulan ini. Moga keprihatinan pihak-pihak yang membantu mendedahkannya mendapat ganjaran yang setimpal.

Umum mengetahui, dalam bulan ini lah peristiwa besar berlaku dan dilalui oleh semua umat Islam. Bulan ini lah antara bulan-bulan yang tidak pernah dilupakan oleh Umat Islam seluruh dunia khasnya di tanah air tercinta ini. Manakan tidak, satu-satunya tarikh awal bulan yang diumumkan secara lansung di dalam tv ialah bulan Zulhijjah. Sehari atau dua hari sebelum masuknya 1 Zulhijjah akan muncullah Penyimpan Mohor Besar Diraja untuk mengumumkan kehadiran bulan ini dan seterusnya menetapkan tarikh sambutan Aidul Adha. Maka keesokan harinya pula terpampanglah diseluruh dada-dada akhbar akan pengumuman tersebut.


Peristiwa yang dimaksudkan tadi ialah bepergiannya jemaah muslimin ke Baitullah Al-Haram untuk mengerjakan Haji dan juga peristiwa sambutan Aidil Adha yang akan diingati oleh semua Umat Islam seluruh dunia. Pada Pagi hari tersebut (bahkan mungkin minggu-minggu sebelumnya lagi) akan dikhabarkan lah kepada kita semua tentang sejarah bermulanya kisah Aidil Adha ini yang bersangkutan dengan peristiwa pelaksanaan mimpi Nabi Ismail oleh ayahndanya iaitu Nabi Ibrahim.

Peristiwa tersebut telah dirakamkan oleh Allah di dalam Surah As-Shaffaat ayat 102-107 (kisah ini dilanjutkan hingga ayat 111).


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ{102} فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ{103} وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ{104} قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ{105} إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاء الْمُبِينُ{106} وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ{107}
Maksudnya:

102. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".
103. Tatkala keduanya Telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ).

104. Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim,
105. Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu[*] Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
106. Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata.
107. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[**].
_______________________________________________________________________

[*] yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.
[*] sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail a.s. Maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). peristiwa Ini menjadi dasar disyariatkannya qurban yang dilakukan pada hari raya haji.
Maka seringkali khatib membawa kita mengimbau kembali peristiwa bersejarah tersebut. Dan pastinya kita memanjatkan kesyukuran atas Rahman dan Rahimnya Allah itu (tu pun bagi yang mendengar khutbah Aidil Adha la). Sudah tentu pasti kita akan bersyukur. Jika tidak digantikan Nabi Ismail Alahimassalam, nescaya akan lebih ramailah manusia yang kufur kepada perintah Allah dan lupa melaksanakan tanggungjawab kepadaNYA. Tatkala perintah Allah yang sampai kepada kita pada hari ini yang meliputi kewajipan harian kita pun kita abaikan, masakan perintah yang 'di luar batas' (korbankan anak) itu akan dituruti oleh semua Umat Islam. Moga kita sentiasa tergolong dalam golongan yang bersyukur. "Selingan: Sedarlah janji Allah :
dalam surah an-Nisa':147 dan Ibrahim:7" yang bermaksud :


.مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً

147. Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman ? dan Allah adalah Maha Mensyukuri[***] lagi Maha Mengetahui.(An-Nisa')
[***] Allah mensyukuri hamba-hamba-Nya: memberi pahala terhadap amal-amal hamba-hamba-Nya, mema'afkan kesalahannya, menambah nikmat-Nya.
.وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".(Ibrahim)

Pengorbanan kedua beranak tersebut bahkan juga dua orang wanita solehah (Hajar dan Sarah Alaihimassalam) telah menjadikan umat Islam sedar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka lakukan di muka bumi Allah ini. Bagi yang bersyukur semestinya mereka menginsafi dan mengkoreksi diri melalui peristiwa bersejarah ini. Sebaliknya pula bagi mereka-mereka yang 'terlupa'. Jadi di medan yang amat kecil peranannya ini, suka "diri ini" mengingatkan diri sendiri juga saudara-saudaraku di luar sana, sedarlah tanggungjawab kita terhadap Allah dan Islam ketika usia kita masih berbaki. Jangan tunggu sehingga nyawa dipenghujung hayat barulah masing-masing berusaha bersungguh-sungguh untuk menginsafi segala kelalaian yang telah kita lakukan ketika hidup kita yang amat singkat ini. Sesungguhnya mati itu adalah pasti, hisab itu adalah pasti, Sirat (titian) itu juga adalah pasti. Yang tidak pastinya adalah dimanakah tempat kita setelah hisab dan sirat itu.


Pengorbanan apakah yang telah kita lakukan untuk menjanjikan tempat yang selesa bagi kita di 'sana' kelak? Amalan-amalan yang dituntut oleh Islam, kita hanya lakukan seadanya. Bahkan bak kata pepatah Melayu 'bagai melepas batuk ditangga' (pepatah moden pula, "bagai 'melepas' di khalayak ramai"). Apabila diseru ke arah yang sepatutnya kita mencebik muka dan pasti mengata pula dihati. Kita merasakan seruan yang dibuat oleh saudara-saudara kita yang lain adalah suatu yang menjengkelkan. Usia kita masih muda apa perlunya kita menyahut seruan-seruan kebaikan tersebut. Mengapa perlu kita tergolong dalam golongan yang 'skema'. Itu lah antara kejahatan pemikiran kita tatkala melalui situasi yang 'amat merimaskan' tersebut.

Apakah penghayatan khutbah tadi hanya buat seketika? Kita menangisi ketika imam/khatib menangisi peristiwa tesebut (kebiasaan orang melayu, sekalipun tak faham apa yg di sampaikan. (berlaku di tanah air juga di mana-mana)). Ketika itu (waktu menagis tadi la) kita mula merancang untuk melakukan berbagai-bagai perubahan dalam diri kita. Tetapi sebaliknya selepas meninggalkan sahaja perkarangan Masjid/Surau kita kembalikepada tabiat-tabiat lama yang tidak menyumbang kepada pembangunan Islam juga tidak membuktikan pengorbanan kepada agama. Kemudian datang pula Zulhijjah yang lain, perkara yang sama menjadi rutin kita. Akhirnya apabila Izrail mula 'menjengah' baru lah kita sedar akan masa yang suntuk bagi diri kita memperjuangkan apa yang dituntut oleh Islam.

Zulhijjah akan berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan dan juga bulan-bulan yang lain. Peluang demi peluang Allah berikan untuk kita nikmati rahmat dan nikmatNYA juga Rahman dan Rahimnya Allah. Kita yang leka, kita yang lalai, kita yang alpa, kita yang terus dibuai angan-angan dan mimpi, kita lah segala-galanya. Peluang demi peluang dihidangkan dihadapan kita. Cuma kita galal memanfaatkannya sebaik mungkin.

Moga Zulhijjah kali ini membawa pengertian yang lebih mendalam bagi setiap kita. Penghayatan yang lebih hakiki dan ikhlas demi melahirkan tindakan dan perlakuan yang seiring dengan apa yang telintas di hati. Harapan agar baki usia yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi memastikan tempat yang indah di 'sana' nanti.

Koreksi diri kita setakat mana pengorbanan yang telah kita lakukan. Nabi Ismail telah melakukan pengorbanan yang cukup besar di ketika usianya masih mentah. Ammar Yasir juga mengikutinya. Ramai lagi pejuang-pejuang muda yang berkorban melangkaui usia mereka. Kita? kita masih di sini, di kelilingi kemewahan dan keindahan hidup. Kawan-kawan, keluarga, harta benda semuanya dijadikan sebab untuk kita mengelak daripada berkorban. Alsan demi alasan kita cipta semata-mata kerana kita lupa tujuan kita dihidupkan
Read more...

Monday, 19 April 2010

Soalan Kemusykilan Agama

Apakah hukumnye lelaki memakai cincin suasa dan platinum.?
Jawapan :
Berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Kajian Syariah tahun 2000 hukum memakai suasa bagi lelaki adalah haram manakala Keputusan Muzakarah Fatwa kali ke 52 pada 1 julai 2002 menyatakan bahawa haram memakai platinum ke atas golongan lelaki. "

Apakah hukum seseorang lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas putih?
Jawapan :
Lelaki Islam diharamkan memakai cincin yang diperbuat daripada emas putih. Ini adalah berdasarkan kepada Keputusan Muzakarah Fatwa kali ke 52 pada 1 julai 2002"

Apakah hukum bagi lelaki memakai gelang?
Jawapan :
Hukum lelaki memakai gelang yang boleh menyerupai perhiasan wanita adalah haram.

Adakah haram bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang bersadur emas(gold plated)?
Jawapan :
Hukum seorang lelaki memakai jam tangan atau sesuatu yang bersadur emas adalah haram. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Janganlah kamu pakai sutera halus dan juga sutera kasar, serta jangan kamu makan / minum dengan menggunakan bekas emas dan perak, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu (kelak) di akhirat". (Riwayat Bukhari dan Muslim) "

Assalamulaikum, apa hukum membawa rokok (didalam kotak) kedalam masjid atau surau? ada yang mengatakan ia Haram? Tolong jelaskan bersama nas Al Quran & Hadith. Terima Kasih
Jawapan :
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa haram merokok dan ia wajib diikuti oleh setiap muslim. Oleh itu membawa kotak di dalam masjid/surau adalah berdosa. "

Apakah hukum menentukan bilangan anak?
Jawapan :
Hukum menghadkan anak tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak adalah haram. Tetapi sekiranya terdapat masalah dari segi kesihatan dan kewangan adalah dibenarkan."

Assalammualaikum.saya merupakan seorang pelajar jururawat.baru-baru ini saya telah berposting di wad bersalin.seorang rakan bertanya kepada saya apakah hukum seorang suami minum susu isterinya??saya kurang pasti dengan hukumnya kerana saya pernah mendengar meminum susu isteri dibolehkan tetapi apabila saya melayari internet untuk mencari jawapan kepada kemusykilan saya banyak hukum yang dinyatakan.boleh tolong jelaskan apakah hukum meminum susu seorang isteri????terima kasih....
Jawapan :
Tiada nas atau dalil yang menyatakan meminum susu isteri adalah haram."

Apakah hukum memakai jersey bola contohnya yang terdapat bendera yang ada lambang cross/salib
Jawapan :
Hukum memakai jersi atau pakaian yang mengandungi lambang salib adalah haram. Oleh itu, saudara hendaklah menghindari daripada memakai pakaian tersebut."

Apakah hukumnya memakan hasil duit daripada penjualan ular contohnya. ahli bomba telah menangkap ular sawa, lepas itu dijual ular tersebut.apakah hukumnya makan hasuil daripada jualnya ular tersebut
Jawapan :
Hukum memakan hasil pendapatan daripada sumber yang haram adalah haram.

Saya mempunyai kawan yang tidak menunaikan solat setelah ditegur pon masih tidak menunaikan solat.Saya selalu membeli makanan untuk dia kerana saya seorang sahaja mempunyai kenderaan... Adakah saya berdosa kerana dianggap bersubahat memberi makan kepada dia dan apakah hukum memberi makan kepada orang yang tidak menunaikan solat?
Jawapan :
Solat adalah kewajipan setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Perbuatan kawan saudara yang tidak menunaikan solat adalah dikira melanggar syariat Islam dan berdosa. Perbuatan saudara yang selalu menegurnya tanpa jemu adalah amat wajar. Saudara sudah terlepas daripada dosa kerana sudah menegurnya setakat yang termampu. Perbuatan saudara yang membelikannya makanan tidak dikira bersubahat dan tidak menggambarkan keredhaan di atas perangainya. Sebaliknya perbuatan saudara amat baik kerana atas dasar persaudaraan sesama Islam yang saling sayang menyayangi sesama Islam dan tidak sanggup melihat saudara seIslam kelaparan. Teruskanlah usaha anda menegurnya supaya menunaikan solat dalam kehidupan sehariannya. wallahuaklam"

Assalamu alaikum Tuan, Dalam keadaan tempat kerja saya, saya terpaksa menempuh keadaan dimana gerai makanan orang Islam betul-betul bersebelahan gerai makanan yang menjual makanan cina, yang pastinya ada khinzir. Ada dua gerai sahaja. Tempat duduk pun adalah bebas. Pernah saya nampak pelanggan cina memakan makanan islam serta cina sekaligus. Bolehkahkah saya terus makan disitu atau bagaimana? Masa memakan sangat terhad. Harap Tuan dapat nasihati saya. Saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih dan semoga Tuan dalam keadaan amat sihat selalu. Wassalaam.
Jawapan :
Wa'alaikumussalam w.b.t. Panel mengucapkan syabas di atas keprihatinan anda untuk memilih soal makanan. Dalam situasi tersebut anda boleh membuat keputusan sendiri. Jika anda benar-benar yakin tempat anda makan itu boleh bercampur dengan makanan haram terutamanya mengenai penggunaan peralatan makan dan minum maka elok anda membawa bekal makanan dan peralatan sendiri. Ini adalah selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W.yang bermaksud: "Tinggallah apa yang meragukan kamu dan ambillah sesuatu yang tidak meragukanmu " ( Riwayat Muslim )

Salam.... soalan saya.. saya pernah terdengar seorang penceramah yang mengatakan bahawa tupai ( haiwan ) halal di makan,sebenarnya apakah kedudukan daging tupai di dalam islam.apakah hukum memakannya
Jawapan :
Waa'laikumussalam Ada pendapat ulamak mengatakan bahawa daging tupai halal dimakan kerana ia tidak membawa sebarang kesan sampingan tambahan pula makanan yang diambil oleh tupai adalah makanan yang baik-baik(buah-buahan)."

Assalamualaikum,Ustaz,Ustazah, Maaf menggangu.Di sini saya mohon penjelasan tentang baja yang dihasilkan dari tulang dan darah dalam bentuk cecair (liquid bone meal & blood meal fertilizers)yang dihasilkan dari najis berat (khinzir) ataupun pertengahan (kambing).Baja ini selalunya digunakan di luar negara dan cara menggunakannya dengan dicampurkan dengan air dan disembur kepada pokok tetapi dengan kuantiti yang sedikit (6%) sahaja untuk satu proses tumbesaran.Apakah proses transformasi (istihalah) kimia didalam tumbuhan itu boleh menjadikan hukum buah itu suci.Dan juga setahu saya darah yang diproses itu akan dididihkan dahulu hingga 100'c serta tulang pula akan direbus dahulu sebelum di jadikan cecair.Apakah hukumnya sekiranya kita makan sesuatu yang kita tidak tahu apakah baja yang digunkan memandangkan pasaran tanaman begitu meluas sekarang ini?Terima kasih.
Jawapan:
Hukum memakan makanan yang menggunakan baja daripada najis mughallazah adalah diharuskan dengan syarat baja berkenaan tidak mengenai langsung buah atau daun/sayur yang kita makan. Jika baja berkenaan mengenai secara langsung atau dijirus ke atas daun/buah berkenaan maka bahan berkenaan wajib disamak sebelum dimakan. Jika kita merasa ragu-ragu terhadap produk yang dihasilkan oleh industri luar negara, lebih baik kita jangan memakannya dan makanlah makanan/produk yang dihasilkan dalam negeri sahaja.Ini bagi menjamin kesucian hati dan diri kita daripada termakan makanan yang diharamkan syarak."

Adakah ikan kembung rebus yang di rebus bersama perutnya boleh di makan mintak penerangan
Jawapan :
Ikan besar (2 jari) perutnya adalah haram "

Bolehkah daging qurban dimakan oleh orang bukan muslim? Jika tidak, boleh nyatakan sebabnya?
Jawapan :

Menurut pendapat Mazhab Syafi’i; Adalah harus memberi makan kepada mereka jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib (yakni korban nazar). Wallahu a’lam."

Halal atau haram memakan ulat sagu serawak
Jawapan :Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
1. HAIWAN Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu:
a) Haiwan darat
b) Haiwan air
HAIWAN DARAT Semua haiwan darat halal dimakan kecuali:
a) Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
b) Babi
c) Anjing
d) Haiwan yang bertaring yang digunakan untuk mencakar dan membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah dan seumpamanya.
e) Burung yang mempunyai kuku pencakar atau makan menyambar umpamanya burung helang dan seumpamanya.
f) Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya iaitu seperti tikus, kala, burung helang, lipan dan seumpamanya.
g) Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya iaitu seperti semut, lebah dan burung belatuk.
h) Haiwan yang dipandang jijik (keji) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.
i) Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya dan seumpamanya.
2 HAIWAN AIR Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidu"

Apakah hukum makan ketam nipah
Jawapan :
ketam nipah bukanlah daripada jenis reptilia dan amfibia, tetapi ia adalah dari jenis rustasia iaitu sama golongan dengan udang dan kerang. Keseluruhan edaran hidupnya adalah di dalam air dan mempunyai sistem pernafasan melalui insang dan bukan paru-paru. Ia bernafas menggunakan oksigen dalam air sebagai pelarut. Kehidupan ketam nipah di darat hanya dalam tempoh masa yang singkat sahaja iaitu lebih kurang 2 atau 3 hari, kerana dalam insangnya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air. Ia menggunakan air tersebut untuk pernafasan dan sekiranya air itu kering ia akan mati. Oleh itu dari segi hukum ketam nipah adalah binatang yang boleh dimakan. .."

Apakah hukum nya memakan ketam sungai atau lebih di kenali di swak sbg ketam kalok?
Jawapan :
Harus memakan ketam sungai."

Ketam batu dari segi syariah islam halal makruh atau haram
Jawapan :
Ketam yang hidup di dalam air dan mencari makan di air dan kemudian apabila berada di darat mencari makan di darat adalah di ketogerikan sebagai binatang yang hidup dua alam yang tidak halal dimakan. Manakala ketam yang hidup di dalam air dan mencari makan di dalam air sahaja dan tidak boleh hidup di darat dalam tempoh yang panjang maka ia halal dimakan. "

Apakah hukum memakan belangkas dan ketam paya bakau
Jawapan :
Hukum memakan belangkas adalah harus. manakala ketam paya pula sekiranya tidak hidup di dua alam maka harus dimakan."

Apakah hukum orang yang memakai tatoo sementara yang boleh dipadam setelah memakainya?
Jawapan :
Memakai tatoo adalah Haram tidak kira sementara ataupun yang tidak boleh dipadam"
Read more...

Monday, 29 March 2010

Bila anak tidur berdengkur..

ALANGKAH seronok perasaan ibu bapa apabila melihat gelagat si kecil mereka yang sedang tidur nyenyak tiba-tiba berdengkur. Ia pasti membuatkan ibu bapa tersenyum kerana situasi itu mungkin melucukan. Tetapi, jangan pula anda bergembira terlalu awal.

Ada sebab mengapa keseronokan awal itu tidak kena pada tempatnya. Kalau dengkuran orang dewasa dikatakan mampu memekakkan telinga dan mengganggu lena orang yang tidur di sebelahnya, dengkuran si kecil juga bukan sekadar satu senario kosong yang mencuit hati.

Sebaliknya, harus timbul kesangsian dan persoalan jika keadaan yang serupa berlaku pada anak anda. Sebabnya, berdengkur merupakan antara simptom klasik kepada sejenis gangguan tidur yang serius, apnea tidur obstruktif (OSA).
Berasal daripada perkataan Greek, apnea membawa maksud tanpa angin. Dengkuran berlaku apabila udara gagal bergerak secara bebas di dalam rongga hidung dan mulut seseorang pesakit.

Dalam gangguan tidur, pesakit lazimnya berdepan dengan beberapa episod pernafasan terhenti seketika sewaktu tidur. Tempoh penghentian aktiviti bernafas boleh berlaku selama sepuluh saat atau lebih daripada itu.

Malah, dalam sesetengah kes, mangsa dilaporkan mengalami episod pernafasan terhenti sebanyak tiga hingga 300 kali semalam.
Meskipun kerap berlaku pada golongan orang dewasa khasnya lelaki pertengahan usia, OSA juga boleh menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.
Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Raymond Tan Suan-Kuo dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur berkata, sekitar lima hingga sepuluh peratus daripada keseluruhan populasi kanak-kanak di Malaysia dianggarkan mempunyai masalah OSA.

"Jangankan tidur yang berkualiti, hendak tidur lena pun payah. Sebab pernafasan yang terhenti-henti sepanjang malam boleh membuatkan pesakit asyik terjaga," jelasnya kepada Kosmo!.

Oleh sebab tidur yang tidak berkualiti, mangsa OSA biasanya akan menunjukkan beberapa kesan simptom umum pada waktu siang. Rasa mengantuk, sakit kepala, agresif dari segi tingkah laku dan hiperaktif.

Dalam sesetengah kes, si anak juga cenderung kepada pelbagai masalah di sekolah seperti kurang daya tumpuan ketika belajar.

Pada sebelah malam pula, selain berdengkur dan mengalami pernafasan terhenti seketika, mangsa selalunya kerap bernafas menggunakan mulut. Simptom-simptom seperti berpeluh berlebihan ketika tidur, sering mendapat mimpi ngeri dan kerap terkencing malam turut dilaporkan oleh golongan pakar pediatrik lain di dunia.

Biasanya masalah OSA dalam kalangan kanak-kanak berlaku kepada golongan berusia antara enam hingga 12 tahun. Kanak-kanak lelaki dilihat lebih cenderung menghadapi masalah OSA kerana kebarangkalian mereka untuk mengalami kenaikan berat badan dan obesiti lebih tinggi.

"Obesiti dan apnea tidur adalah saling berkait rapat kerana obesiti boleh menyempitkan laluan udara. Biarpun obesiti merupakan antara faktor risiko untuk OSA, ini tidak bermakna golongan kurus langsung tidak memerlukan diagnosis," katanya.

Komplikasi

Malah, pesakit masalah dengkur yang dikaitkan dengan simptom OSA juga boleh berdepan dengan risiko komplikasi penyakit lain seperti serangan strok, hipertensi, angin ahmar dan masalah kardiopulmonari.

"Baru-baru ini, dalam satu kes yang saya terima, ada seorang kanak-kanak Melayu obes mempunyai masalah apnea tidur seperti orang dewasa. Apa yang membuatkan kes ini menarik adalah budak ini juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Bayangkan, umurnya cuma sepuluh tahun," terangnya sambil memberitahu masalah tersebut hanya disedari oleh ibu bapa kanak-kanak itu baru-baru ini.

Walaupun begitu, selain obesiti, masalah dengkur dalam kalangan kanak-kanak juga berpunca daripada pelbagai faktor lain. Antaranya termasuk alahan rinitis dan masalah tonsil serta adenoid yang membengkak.

Tonsil dan adenoid yang berfungsi untuk memerangkap bakteria berbahaya boleh membesar dan membengkak pada kebanyakan masanya. Adenoid ialah kelenjar-kelenjar yang terletak di dalam kepala dan berdekatan dengan bahagian dalam rongga-rongga hidung.

Menurut Dr. Tan, masalah OSA yang dibiarkan tanpa rawatan hanya merugikan pesakit kerana ia terbukti memberi impak kepada prestasi mangsa tersebut.
Dalam beberapa kajian psikologi yang dijalankan di New Zealand, pesakit OSA yang tidak mendapatkan rawatan didapati mengalami masalah kognitif dan tersasar daripada pencapaian keupayaan IQ biasa.

Satu kajian yang dibiayai oleh Institut Pembangunan Manusia dan Kesihatan Kanak-kanak Nasional (NICHD), Amerika Syarikat (AS) mendapati seorang bayi berusia setahun yang mengalami apnea berbilang atau kadar degupan jantung yang perlahan sewaktu tidur telah menunjukkan pencapaian lebih rendah dalam ujian-ujian perkembangan mental berbanding bayi sebayanya.

Dalam kajian kedua yang dibiayai oleh Institut Jantung, Paru-paru dan Darah (NHLBI) AS, pula, prestasi dari aspek kecerdikan, memori dan ujian kognitif standard yang lain bagi golongan kanak-kanak berusia lima tahun dengan tabiat berdengkur secara kerap, kuat dan masalah pernafasan yang bising sewaktu tidur adalah jauh lebih rendah.

Segerakan rawatan
Tan berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap simptom-simptom OSA agar anak boleh dirujuk kepada pakar bedah ENT secepat mungkin. Diagnosis akan dibuat bagi mengesan kebengkakan tonsil dan adenoid, masalah jantung, tekanan darah tinggi dan tumbesaran terencat.

"Anak dengan masalah OSA juga ada 'wajah Adenoid' iaitu muka yang panjang dengan pipi mendatar. Mulut mereka juga sentiasa ternganga dengan bibir bawah yang tebal.
"Keadaan ini berpunca daripada tempoh pernafasan menggunakan mulut yang lama dan kemasukan sedikit udara ke dalam bahagian sinus maksilari," jelasnya.
Kaedah rawatan utama untuk kanak-kanak biasanya adalah pembedahan bagi membuang tonsil dan adenoid yang membesar. Kedua, Tan menyarankan agar anak sentiasa mengekalkan berat badan yang sihat.

Ibu bapa boleh memberi sokongan agar anak melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti bersenam bagi mendapatkan berat badan ideal tanpa perlu berleter sepanjang masa. Ketika makan, pastikan mereka tidak membiasakan tabiat makan di depan televisyen.
Sebaliknya, amalkan tabiat makan dan menikmati makanan secara perlahan-lahan di meja makan bersama ahli keluarga.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menggunakan makanan sebagai ganjaran atau hukuman untuk anak. Mengurangkan berat badan juga tidak bererti si anak perlu mengikuti rejim diet yang ketat melainkan disaran oleh doktor atas sebab-sebab perubatan.

Satu lagi, anak perlu ada rutin tidur yang tetap dan bagus tanpa mengira usia anak. Pastikan rutin itu memenuhi keperluan harian asas untuk kumpulan umur berbeza.
"Jangan anda fikir masa tidur boleh ditebus. Contohnya, kalau semalam anda hanya sempat tidur empat jam dan hari ini, jumlah jam tidur digandakan untuk menebus balik masa tidur, itu tidak mungkin," tambahnya.
Read more...

Amal jariah dengan memberi..

Buatlah kebaikan kerana ia akan terus hidup selepas kita mati. Ingatlah bahawa ada amal kebaikan yang kita lakukan, pahalanya akan terus kekal dan mengalir walaupun selepas kematian kita. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim no.4310)

Manfaat orang yang Memberi

Mengikis sifat mazmumah
Dengan memberi dapat membuang sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain. Harta, ilmu, tenaga dan apa jua yang kita miliki adalah punca sifat-sifat mazmumah. Sebab itu kita diwajibkan mengeluarkan zakat kerana zakat itu adalah pembersih. Jika tak keluarkan zakat diri dan harta kotor.

Mendapat lebih banyak
Percayakah bahawa dengan memberi kita akan mendapat lebih banyak? Yakni dengan memberi harta, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain milik kita tidak akan berkurangan malah akan bertambah. Ini disebabkan apabila kita memberi Allah akan membuka pintu rezeki, ilmu dan iman yang lebih luas untuk kita. Firman-Nya “Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melibatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya” (Al-Baqarah 2:261)

Wujud perpaduan dan keharmonian
Apabila kita berfikir untuk memberi, kita akan merapatkan sesuatu hubungan. Sebaliknya jika hanya berfikir untuk mendapat, kita akan menjarakkannya. Hukum kasih sayang menyatakan, jika hendak disayangi maka terlebih dahulu kena menyayangi. Hanya dengan memberi kasih-sayang kita akan mendapatnya.

Allah itu Maha Pemberi


Allah memberi tanpa pinta dibalas
Allah adalah sebaliknya Maha Kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Usahkan untuk membalasnya, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak daripada Allah. Walaupun pinjaman itu masih tertunggak, namun Allahtidak menarik semula nikmat pinjaman-Nya kepada kita.

Allah memberi sebelum diminta
Kebanyakkan manusia, hatta yang pemurah sekalipun, memberi setelah diminta, Allah sebaliknya memberi sebelum diminta leh makhluk-Nya. Manusia seringkali lupa meminta apa yang diperlukan dalam hidup, namun Allah Maha Penyayang, Dia berikan juga rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk memintanya.

Allah memberi berulang-ulang kali dan berterusan
Ada berjuta-juta proses yang sentiasa berlaku dalam seluruh makhluk ini daripada haiwan, tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang hinggalah ke seluruh semesta alam ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidupkan, mematikan, menjalankan dan memberhentikan. Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan dan pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali untuk siapa ? Ya, untuk manusia – khalifah di muka bumi.

Memberi segala sesuatu yang sangat berharga
Allah tidak memberikan sesuatu itu dengan sia-sia. Manusia juga diciptakan dengan tujuan yang besar menjadi khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah. Apa yang Allah berikan amat berharga jika dinilai sama ada dari sudut material atau sudut rohani.

Memberi sesuatu yang baik untuk menghsilkan kebaikan
Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya. Dengan segala kebaikan itu Allah inginkan hamba-Nya melakukan kebaikkan kepada orang lain.
Read more...

Sunday, 28 February 2010

Maulidur Rasul SAW : Kekasih sepanjang hayat

TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi.



Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh.Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul?Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda.Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini.

Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w.Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya."Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." (Surah al-Taubah: 24)

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu.

Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:# Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik."Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." (Surah al-Nahl: 36)Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

# Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam.Ibnu Mas'ud berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Huquq al-Nabi)

# Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia."Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu..." (Surah al-Ahzab: 21)

# Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

# Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.

# Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - "Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." (Hadis riwayat Muslim)

# Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.

# Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - "Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." (Hadis riwayat Muslim)
Read more...